Saya terbaca artikel tulisan Abdul Rahman Abdul Rahim di muka surat 10 bertajuk usah gandingkan sains dan Al-Quran, dalam suratkhabar arus perdana Utusan Malaysia semalam (Jumaat 29 September). Penulis menyatakan bahawa Al-Quran tidak perlu, tidak sesuai dan tidak seiringan dengan ilmu sains. Berikut adalah "petikan daripada artikel penulis tersebut" disusuli dengan pendapat saya tentang artikel tersebut.
“Ada satu jenis pemikiran atau mentaliti berasaskan pada rasa rendah diri umat Islam yang memandang tinggi kepada ilmu sains kerana pencapaian hebatnya pada zaman ini. Ia juga berpunca daripada kedudukan lemah umat Islam dalam bidang sains dan teknologi serta menyedari bahawa ilmu agama tidak menyumbang kepada keupayaan mereka dalam kehidupan dunia. Akibat daripada perasaan rendah diri ini, maka mereka seolah-olah mencari-cari penemuan-penemuan sains untuk membuktikan bahawa al-Quran adalah benar.”
>>>Penulis menyatakan bahawa penulisan yang mengaitkan ‘fakta’ Al-Quran dengan ‘penemuan’ sains adalah hasil daripada rasa inferior umat Islam terhadap agamanya dan telalu mengagungkan sains. Walhal, pembuktian /gandingan ini bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam tetapi juga cendiakawan-cendiakawan bukan Islam. Tiada perasaan rendah diri di sini, tetapi saya rasa suatu kebanggaan apabila kita dapat membuktikan bahawa Al-Quran itu benar, sesuatu yang diturunkan oleh yang Maha Esa, pencipta manusia dan sekalian Alam. Lebih-lebih lagi, dalam dunia liberal hari ini, dimana manusia umumnya hanya menggunakan logik akal, jadi tidak salah kaitan dibuat antara ilmu sains dan Al-Quran supaya manusia dapat berfikir tentang kebenaran Al-Quran dan ini boleh menjadi suatu medium dakwah yang berkesan.
Penulis juga menyatakan bahawa perkaitan ini dibuat kerana kelemahan umat Islam dalam ilmu sains dan teknologi dan menyedari bahawa ilmu agama tidak menyumbang kepada keupayaan mereka dalam ilmu agama. Penulis mungkin tidak menyedari bahawa ilmu yang terdapat dalam Al-Quran adalah luas dan berkisar tentang pelbagai cabang ilmu, walaupun jika manusia sejagat mempelajari hanya bahagian ilmu agama dalam Al-Quran dan menghayati serta mempraktikkan kandungannya, saya percaya umat Islam akan menjadi umat yang maju, kerana Islam adalah satu cara hidup yang unggul dan bukan hanya berkisar tentang ilmu Agama.
"Justeru dicarinya penemuan-penemuan sains dan digandingkan pula dengan ayat-ayat al-Quran, maka dikatakanlah bahawa dalam al-Quran terdapat banyak fakta sains. Malah dikatakan pula bahawa sains baru mengetahui sesuatu fakta sedangkan al-Quran sudah lama menyatakannya. Nada daripada kata-kata sebegini adalah untuk menunjukkan bahawa al-Quran adalah lebih agung daripada sains. Tetapi pada waktu yang sama terdapat perasaan rendah diri dengan sains hingga memerlukan sikap-sikap sebegini."
>>>Al-Quran memang terdapat banyak fakta sains, perkara ini tidak boleh disangkal lagi! Memang Al-Quran lebih agung daripada sains, Al-Quran adalah daripada Pencipta, manakala sains adalah ilmu hasil pemikiran hambaNya dan tidaklah sempurna, dan mungkin terdapat kesalahan akibat pemikiran kita yang terhad. Pada perenggan awal, penulis menyatakan bahawa kaitan dibuat kerana rasa rendah diri terhadap Al-Quran, disini pula penulis menyatakan pula kaitan dibuat akibat daripada rasa rendah diri terhadap sains pula…Teori mana yang cuba didokong penulis? rendah diri terhadap sains atau al-Quran?
"Ditambah pula dinyatakan bahawa manusia melalui sains tidak akan mengetahui semua perkara. Seolah-olah dikatakan bahawa belajar sains kurang perlu diberi perhatian."
>>>bukan kah jika kaitan dibuat, cendiakawan agama akan berminat mempelajari sains dan cendiakawan sains pula akan berminat mempelajari agama…jadi tiada masalah bahawa belajar sains perlu kurang diberi perhatian.
"Hakikatnya ialah sains dan al-Quran tidak boleh digandingkan atau dibandingkan. Sains adalah ilmu yang berupa hasil manusia mencari menemui dan mencuba untuk mendapat rumusan. Ia berubah-ubah. Tetapi al-Quran adalah kitab wahyu dan bukannya buku sains. Ia tidak mengandungi fakta sains. Ini kerana al-Quran tidak berubah sedangkan fakta sains berubah apabila mendapat penemuan baru. Justeru membandingkan antara keduanya adalah tidak wajar. Maka usaha mencari ayat yang selaras dengan fakta sains, atau mencari penemuan sains untuk diselaraskan dengan ayat al-Quran adalah pekerjaan yang tidak bermanfaat."
>>>Memang benar sains boleh berubah, kerana sains adalah hasil daripada pemikiran saintifik manusia berasakan logic akal dan ujikaji, hakikat bahawa sains boleh berubah-ubah kerana pemikiran manusia adlah terhad, dan terdapat fakta-fakta sains berasaskan kepada teori-teori sahaja, seperti beberapa teori Einstien dalam ilmu Fizik dan teori Freud dalam ilmu Psychology. Apabila penemuan baru dibuat, dan bukti yang lebih kukuh diperoleh, maka teori-teori ini boleh berubah. Jika terdapat persamaan antara ilmu Al-Quran dan sains maka, teori sains tersebut boleh disahkan tepat dan pada masa yang sama menunjukkan bahawa Al-Quran bukan sesuatu rekaan tetapi adalah sebuah buku yang sangat hebat kandungannya dan hanya Pencipta mampu menghasilkan karya sebegitu.
"Al-Quran adalah kitab panduan untuk manusia. Ia mengandungi perumpamaan dan kisah bagi meningkatkan keimanan dan kehidupan berakhlak di kalangan manusia. Tetapi ia sama sekali bukan buku sejarah atau buku sains."
>>>Sekali lagi, penulis cuba memisahkan agama dan sains. Walhal, Islam adalah suatu cara hidup, yang menitikberatkan pencapaian dan penguasaan ilmu.
"Dan Al-Quran merangkumi pelbagai jenre ilmu, boleh menjadi rujukan seluruh umat manusia. Sudah tentu terdapat ayat-ayat di dalamnya yang tidak selaras dengan sejarah dan sains. Ini kerana sejarah dan sains adalah bidang ilmu manusia."
>>>Sejarah dan sains dalah bidang ilmu manusia? Adakah bidang ilmu Allah hanya terhad kepada kepercayaan kepadaNya sahaja. Sesungguhnya Allah yang menciptakan manusia, jadi semua ilmu adalah miliknya. Walhal, hanya secebis sahaja yang mungkin boleh dikuasai manusia.
"Walaupun terdapat ayat-ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan mengikut fakta sains kontemporari, tetapi ia hanya rumusan pentafsir semasa dan bukannya fakta untuk membuktikan sesuatu perkara."
>>>Jelas penulis tidak suka dengan idea bahawa Al-Quran itu sangat agung dan meliputi ilmu sains dan ilmu-ilmu lain.
"Cuba bayangkan apabila fakta sains itu berubah akibat penemuan baru, sesuatu yang lumrah, maka adakah hendak didakwa bahawa ayat al-Quran itu silap?"
>>>Jika ini berlaku, Al-Quran tidak silap, tetapi fakta sains tersebut kurang tepat. Namun, belum lagi saya bertemu dengan ‘penemuan’ Sains yang telah dibuktikan secara saintifik yang bercanggah dengan Al-Quran.
"Ayat-ayat al-Quran juga tidak boleh membuktikan sesuatu fakta sains itu betul atau tidak. Ini kerana aktiviti sains bergantung kepada pemerhatian, percubaan dan rumusan hipotesis serta teori."
>>>Benar sains berdasarkan kaedah diatas, tetapi mengatakan ayat-ayat Al-Quran tidak boleh membuktikan kebenaran fakta sains menunjukkan jangkalnya pemikiran penulis. Penulis disini jelas cuba menyampaikan ideologi sekularisma yang menyimpang dengan Al-Quran dengan cara mengulangi pendapat-pendapatnya dalam bentuk ayat yang berbeza. Penulis cuba
mengasingkan agama dan sains!. Dan perbuatan penulis adalah sesuatu yang sia-sia kerana sekularisma adalah sesuatu yang merbahaya dan telah terbukti memusnahkan dan melemahkan umat Islam seperti yang berlaku hari ini. Wallahua’lam
Klik disini untuk Artikel penuh
emel penulis artikel: cabarminda@yahoo.com
Kesimpulanya, saya berpendapat penulis bukanlah seorang pakar sains mahupun alim ulama. Mungkin hanya seorang yang cuba ingin menampakkan dirinya kreatif dan kritis, tetapi tidak sedar, yang dia perlu lebih belajar dan mendalami kedua2 ilmu supaya apa yang disampaikannya tidak akan merosakkan pemikiran warga Malaysia. Saya tidak menyatakan bahawa saya menguasai kedua-dua bidang ilmu ini, tetapi melalu ilmu saya yang sedikit ini saya merasa bertanggungjawab untuk membetulkan apa yang jelas tidak benar. Saya juga telah mengirim pendapat saya kepada penulis, jika penulis memberi respon, saya akan 'post'kan disini. Jika anda cendiakawan sekalian punya pendapat tersendiri atau mengenali siapa penulis ini, sila berkongsi. Terima Kasih.